Lapan sepupu bersanding satu pelamin - Utusan Malaysia

Lapan sepupu bersanding satu pelamin

Pelamin sepupu
KASINAH Kasbullah (duduk tengah) bergambar bersama cucu-cucunya yang bersanding pada majlis perkahwinan di Sabak Bernam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Lapan sepupu bersama pasangan mereka mencipta keunikan apabila diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai di Grand Sabak Hotel and Mini Convention Centre di sini, semalam.

Bapa kepada tiga pasangan pengantin, Osman Munadi, 61, berkata penganjuran majlis itu bertujuan memenuhi hasrat ibunya, Kasinah Kasbullah, 85, yang ingin melihat semua cucunya bersanding serentak.

Katanya, biarpun ada yang sudah bernikah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, namun mereka turut diraikan sebagai mempelai.

“Emak memang terlalu mahu melihat kesemua lapan cucunya bersanding atas pelamin sama. Saya dan adik beradik lain bersyukur dapat mengumpulkan mereka dalam satu majlis yang turut mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui.

Keterujaan itu turut dikongsi anaknya, Mohd. Azmie, 29, dan isteri, Siti Salwani Ibrahim, 28, yang bersanding biarpun dianggap sebagai ‘pengantin lama’.

“Kami berdua bernikah pada 27 November 2021 dan hanya mengadakan majlis kenduri secara kecil-kecilan berikutan PKP. Namun, saya kini gembira dapat mengabadikan detik bersejarah dalam hidup pada majlis perkahwinan beramai-ramai,” ujarnya.

Bagi abangnya, Mohd. Razif, 34, majlis itu amat bermakna kepada dia dan isterinya, Nur Amirah A. Shukor, 32, yang bernikah pada 3 Mei lalu.

“Sebelum ini, majlis persandingan kami hanya berlangsung di sebelah keluarga isteri saya di Muar, Johor. Majlis ini dianggap unik dan menjadi kenangan berharga yang akan dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan pengantin baharu, Amirul Fiqri Suratin, 23, dan Faqihah Abu Hassan, 23, berkata, majlis berkenaan amat meriah apatah lagi mereka baharu sahaja disatukan pada 22 September lalu.

“Majlis perkahwinan sebelum ini turut diadakan di kedua-dua rumah pengantin lelaki dan perempuan di Nyalas, Jasin Melaka. Kami bersyukur dapat merasa mengikuti majlis perkahwinan beramai-ramai dan memenuhi  impian nenek hendak melihat semua cucu dan pasangan naik pelamin,” ujarnya.

Selain tiga pasangan itu, turut diraikan Siti Hawa Osman, 27, dan pasangannya Muhammad Azrul Nasikin, 27; Muhamad Iqbal Roslan, 27, dan Nur Syafiqah Azman, 27; serta Ahmad Hazim Azman 24, dan Nurul Syafiqah Alias, 25.

Turut menyertai persandingan itu,  Muhammad Fahmirul Mohd Yazid, 29 dan pasangannya, Aina Izati Suratin, 25, serta Abid Rafiqin Sarwani, 27, dan Nur Khartika Kamarul Zaman, 27. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya