Suasana di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor ketika tinjauan pada 9 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bukit Malawati warisan kota pertahanan tiga Sultan Selangor

Selaku kota pertahanan kesultanan Selangor, Bukit Malawati meninggalkan banyak kesan sejarah awal pemerintahan negeri ini.

Dahulu dikenali Bukit Selangor, kedudukannya yang menghadap muara Sungai Selangor dan Selat Melaka amat strategik.

Bentuk geografinya memudahkan kerja memantau pergerakan kapal dagang dan kapal musuh, khususnya Belanda.

Bukit itu menjadi lambang kedaulatan tiga pemerintah Selangor terawal. Ia juga menempatkan istana dan balai diraja Sultan Salehuddin Shah (1766-1782), Sultan Ibrahim Shah (1782-1826) dan Sultan Muhammad Shah (1826-1857).

Semasa Perang Selangor-Belanda 1784-1785, bukit berkenaan menjadi medan pertempuran angkatan Selangor dengan kuasa penjajah tersebut.

Pergeseran Belanda dengan Sultan Ibrahim tercetus lantaran Baginda membantu bapa saudaranya Yamtuan Muda Kesultanan Johor-Riau-Lingga keempat Raja Haji Daeng Celak menyerang Melaka yang dikuasai penjajah Barat itu pada Jun 1784.

Bukit Malawati dikuasai Belanda sebulan selepas serangan Melaka itu. Namun, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya Raja Muda Nala, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya atau Penggawa Tua dan Bendahara Pahang Tun Abdul Majid menghalau Belanda dalam satu malam pada 28 Januari 1785.

Dikenali Perang Satu Malam, serangan angkatan Selangor selepas waktu isyak itu berjaya menawan kembali seluruh bukit berkenaan sebelum subuh.

Lensa AHMAD ZAKKI JILAN merakam kesan sejarah Bukit Malawati, manakala wartawan FARIDZWAN ABDUL GHAFAR menyusun maklumat makalah bertajuk Tinggalan Warisan Monumen di Kota Melawati: Satu Penilaian Semula.

Tulisan Mohd Haidi Mohd Kasran, Rozeha Harun dan Mohd Hairul Izwan Mohd Kasran yang diterbitkan Jurnal Arkeologi Malaysia (edisi September 2021) memperinci tinggalan di ibu negeri pertama Selangor.

1. Kota Malawati

Kota pertahanan Bugis ini pernah ditawan Belanda pada Julai 1784 dan namanya ditukar kepada Kubu Altingsburg.

Kota itu berbentuk segi empat sama dan berkeluasan 30 ekar. Binaannya daripada batu-batu pejal. Ia dikelilingi pagar kayu lengkap meriam.

Pokok jati dan sena ditanam berselang-seli dengan jarak 10 kaki bagi menguatkan susunan batu.

Bagi tujuan keselamatan, semak-samun dan pokok-pokok di sekeliling kota dibersihkan bagi mengelak musuh bersembunyi.

Ada tiga teres pada kota berkenaan. Tapak istana sultan di teres pertama, balai diraja di teres kedua dan teres ketiga ialah tanah lapang sebagai tapak perhimpunan.

Pintu utama kota mengarah ke timur tepat selebar 10 kaki menuruni empat anak tangga menuju ke halaman seluas 500 kaki persegi, khas untuk bangsawan istana.

2. Batu hampar

Terdapat batu hampar di pintu masuk ke Kota Malawati. Ia dipercayai batu tambatan kapal di Pengkalan Batu Buruk (kini sebahagian pekan Kuala Selangor).

Batu berkenaan dikatakan diangkat Nakhoda Omar dari Pengkalan Batu Buruk ke Kota Malawati. Ia menjadi tempat Sultan Ibrahim bermain catur dan congkak di luar istana.

Mengikut portal rasmi Majlis Perbandaran Kuala Selangor, batu hampar itu dikatakan menjadi tempat menghukum penderhaka.

3. Meriam tiga sultan

Terletak di bahagian kiri pintu utama kota, meriam berkenaan ialah meriam Sultan Salehuddin, meriam Sultan Ibrahim dan meriam Sultan Muhammad.

Antara ketiga-tiga meriam jenis Inggeris yang panjangnya sembilan kaki itu, meriam Sultan Ibrahim ada legenda tersendiri.

Meriam berkenaan meletup sendiri dua kali iaitu pada 3 November 1961 ketika hendak dipindahkan dan 16 Ogos 1976 dikatakan akibat aktiviti tidak bermoral pengunjung Bukit Malawati.

4. Busut Malawati

Busut Malawati sebenarnya bukit buatan semasa pemerintahan Sultan Ibrahim. Jaraknya dari istana kira-kira 100 meter melalui jalan batu yang disusun rapi.

Busut itu menjadi medan perundingan, tempat berehat, destinasi persinggahan bangsawan dan lokasi menyabung ayam pada zaman dahulu.

Di bahagian bawah busut, terdapat gua menyimpan harta pusaka, alat kebesaran dan senjata Kerajaan Selangor antaranya tiga bilah keris tanpa hulu, keris panjang bersaiz tujuh lok, keris kedua bersaiz lima lok, keris pendek jenis tiga lok, tombak kerajaan.

5. Tangga seratus

Terdapat laluan dikenali tangga seratus yang menghubungkan Kota Malawati ke Pengkalan Batu Buruk di tepi Sungai Selangor.

Struktur itu memiliki susunan batu landai dan curam berdekatan busut Malawati menuruni bukit melalui sebelah rumah pam Jabatan Pengairan dan Saliran dan terus ke pekan Kuala Selangor.

Nama tangga seratus berasal daripada 100 keping batu granit disusun menjadi tangga sepanjang laluan itu.

Tangga seratus dianggap monumen penting dalam pembentukan kerajaan negeri Selangor feudal.

Laluan bertangga itu disifatkan permulaan kepada sejarah Kuala Selangor sebagai ibu negeri pertama.

Ia tercatat dalam makalah oleh orientalis Barat Isabella Bird pada 1883, selain pengkaji sejarah tempatan seperti Yusoff Hassan pada 1981.

6. Telaga tujuh

Terletak di belakang Masjid Raja Lumu, telaga itu asalnya mempunyai tujuh mata air yang tidak pernah kering walau musim kemarau. Kini, hanya tinggal beberapa mata air kerana yang lain tertimbus.

Sebelum ini, ada segelintir masyarakat menggunakan air telaga ini untuk membayar niat.

7. Makam diraja

Bukit Malawati menjadi tempat persemadian tiga sultan Selangor terawal iaitu Sultan Salehuddin, Sultan Ibrahim dan Sultan Muhammad.

Bangunan makam terletak di kaki bukit berdekatan Masjid Raja Lumu. Terdapat meriam berbalut kain kuning di hadapan bangunan makam dikenali meriam petai boga atau meriam puteri putih.

Pada luar bangunan makam tiga sultan Selangor itu, terdapat makam Panglima Hitam. Mengikut sejarah, Panglima Hitam digambarkan berkulit gelap, selain memakai tengkolok, baju dan seluar berwarna hitam.

Beliau seorang pegawai istana yang dihormati ketika zaman awal kesultanan Selangor. Dia juga dianggap simbol kehebatan dan semangat orang Melayu, selain taat setia kepada sultan.

8. Perigi beracun

Terletak depan pintu masuk perkarangan Muzium Permainan Tradisional Air, perigi berkenaan mengandungi pelbagai jenis racun dan miang rebung. Ia dijadikan tempat hukuman penderhaka pada zaman dahulu.


Pengarang :