Bukit Malawati

KUALA LUMPUR – Beberapa taman bandar lama di sekitar Kuala Selangor akan dinaiktaraf sebagai langkah memelihara dan memulihara warisan sejarah.

Antara taman bandar itu adalah Dataran Keris (Ixora), Dataran Malawati, Bukit Malawati, Pantai Remis dan Pekan Lama Kuala Selangor, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Katanya, lokasi tersebut akan disediakan ruang santai dan tempat beriadah yang lebih mesra pengguna.

“Selaras slogan Kuala Selangor Indah dan Bersejarah, pembentukan bandar ini mengekalkan konsep legasi sejarah dalam taman sebagai elemen utama,” katanya ketika berucap sempena Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) secara maya di Facebook.

Rahilah berkata, laluan pejalan kaki dan basikal turut ditambah di kawasan mempunyai kepadatan penduduk tinggi terutama Bandar Puncak Alam serta Saujana Utama bagi menyokong elemen bandar selamat.

Dalam usaha bagi menjamin keselamatan, sebanyak 21 lokasi titik panas dikenal pasti untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dijangka seawal tahun depan, katanya.

“Beberapa laluan alternatif dirancang bagi penguraian lalu lintas di kawasan tertentu selain pemasangan lampu isyarat pintar di enam lokasi dipersetujui tahun ini,” ujarnya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran.

Upacara pemasyhuran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari secara maya. – MalaysiaGazette