Syarikat
Falsafah kami
Sepuluh perkara yang kami tahu adalah benar
"Enjin carian yang sempurna," kata pengasas bersama Larry Page, "akan benar-benar memahami apa yang anda maksudkan dan mengembalikan apa yang anda ingini dengan tepat." Apabila Google bermula, anda akan terperanjat tetapi gembira bila menjumpai jawapan yang betul dengan serta-merta untuk pertanyaan carian yang anda masukkan.
Tetapi teknologi telah berkembang pesat semenjak hari itu dan penampilan web telah berubah. Menyedari bahawa membuat carian tidak akan pernah diselesaikan, kami berterusan mendorong had teknologi sedia ada dengan menyediakan perkhidmatan yang pantas dan mudah digunakan yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang mencari maklumat, sama ada mereka duduk di meja di Boston atau berbual di telefon di Bangkok. Kami juga telah mengambil iktibar dari pengalaman carian untuk menangani lebih banyak cabaran.
Sementara kami terus memandang ke masa depan, prinsip tera ini membimbing tindakan kami.
Pertama kali kami menulis "10 perkara" ini beberapa tahun lalu. Dari semasa ke semasa kami menyemak semula bagi melihat jika ia masih benar. Kami harap ia masih lagi–dan anda boleh memastikan kami mengikutnya. (September 2009)
-
Tumpukan kepada pengguna dan yang lain akan mengikut.
Sejak dari mula, kami menumpukan kepada menyediakan pengalaman pengguna terbaik yang mungkin. Sama ada kami mereka bentuk penyemak imbas Internet yang baharu atau ciri baru dalam penampilan laman utama, kami amat berhati-hati bagi memastikan yang pada akhirnya akan berkhidmat untuk anda, dan bukannya matlamat dalaman dan keputusan kami. Antara muka laman utama kami adalah jelas dan ringkas serta halamannya memuat serta-merta. Peletakan dalam hasil carian tidak pernah dijual kepada sesiapa dan pengiklanan bukan sahaja ditandakan dengan jelas, malah ia juga menawarkan kandungan yang berkaitan dan tidak mengganggu. Dan apabila kami membina alat dan aplikasi baharu, kami percaya ia harus berfungsi dengan baik sekali supaya anda tidak perlu mempertimbangkan bagaimana jika ia direka bentuk dengan cara yang berbeza. -
Adalah baik jika dapat melakukan suatu perkara dengan benar-benar baik.
Kami menjalankan carian. Dengan satu daripada kumpulan penyelidikan yang terbesar di dunia memfokuskan secara eksklusif kepada menyelesaikan masalah carian, kami tahu apa yang kami boleh lakukan dengan baik dan bagaimana kami boleh melakukannya dengan lebih baik. Melalui pelelaran berterusan tentang masalah yang sukar, kami telah dapat menyelesaikan isu yang rumit dan menyediakan peningkatan yang berterusan kepada perkhidmatan yang telah pun menjadikan pencarian maklumat pengalaman yang pantas dan tanpa sempadan untuk berjuta-juta orang. Dedikasi kami dalam mempertingkatkan carian membantu kami menggunakan apa yang kami ketahui untuk produk baharu seperti Gmail dan Peta Google. Harapan kami adalah untuk membawa kuasa carian ke kawasan yang tidak pernah diterokai sebelum ini dan membantu orang ramai untuk mengakses dan menggunakan lebih banyak maklumat yang sentiasa berkembang dalam kehidupan mereka. -
Cepat lebih baik dari perlahan.
Kami tahu bahawa masa itu berharga, oleh itu apabila anda mencari jawapan di web, anda mahukannya serta-merta–dan matlamat kami adalah untuk memuaskan hati anda. Kami mungkin satu-satunya syarikat di dunia yang boleh mengatakan matlamat kami adalah untuk orang ramai meninggalkan laman utama kami secepat yang mungkin. Dengan mengurangkan bit dan bait berlebihan dari halaman kami dan meningkatkan kecekapan persekitaran perkhidmatan kami, kami telah melepasi rekod kelajuan kami sendiri beberapa kali supaya masa balasan purata untuk hasil carian adalah dalam sekelip mata. Kami memikirkan tentang masa dengan setiap produk baharu yang kami keluarkan, sama ada ia aplikasi mudah alih atau Google Chrome, penyemak imbas yang direka cukup pantas untuk web moden. Dan kami terus berusaha menjadikannya lebih pantas lagi. -
Demokrasi di web berjaya.
Carian Google berjaya kerana ia bergantung kepada berjuta-juta individu yang menyiarkan pautan di laman web bagi membantu menentukan tapak lain mana yang menawarkan kandungan yang bernilai. Kami menilai kepentingan setiap halaman web menggunakan lebih daripada 200 isyarat dan pelbagai teknik, termasuk algoritma PageRank™ yang dipatenkan, yang menganalisis tapak mana yang telah "diundi" sebagai sumber maklumat terbaik oleh halaman lain di seluruh web. Semakin web ini berkembang, pendekatan ini pula semakin meningkat, kerana setiap tapak baru merupakan satu lagi titik maklumat dan satu lagi undian untuk dikira. Dalam aliran yang sama, kami aktif dalam pembangunan perisian sumber terbuka, di mana inovasi dilaksanakan melalui usaha ramai pengatur cara secara berkumpulan. -
Anda tidak perlu berada di meja anda untuk memerlukan jawapan.
Dunia menjadi semakin mudah alih: orang ramai mahu mengakses maklumat tidak kira di mana mereka berada, pada bila-bila masa mereka memerlukannya. Kami merintis teknologi baharu dan menawarkan penyelesaian baharu untuk perkhidmatan mudah alih yang membantu orang ramai di seluruh dunia melakukan banyak tugasan pada telefon mereka, dari menyemak e-mel dan acara di kalendar sehingga menonton video, termasuk juga beberapa cara berbeza untuk mengakses carian Google pada telefon. Di samping itu, kami berharap untuk menjana inovasi yang lebih hebat untuk pengguna mudah alih di mana-mana sahaja dengan Android, platform sumber terbuka mudah alih percuma. Android membawa keterbukaan yang membentuk Internet di dunia mudah alih. Android bukan sahaja memanfaatkan pengguna yang mempunyai lebih pilihan dan pengalaman mudah alih baharu yang inovatif, bahkan ia membuka peluang meraih pendapatan untuk pembawa, pengeluar dan pembangun. -
Anda boleh menjana pendapatan tanpa melakukan perkara jahat.
Google adalah suatu perniagaan. Pendapatan yang kami hasilkan berpunca dari penawaran teknologi carian kepada syarikat dan dari penjualan pengiklanan yang dipaparkan di tapak kami dan tapak lain di seluruh web. Beratus ribu pengiklan di seluruh dunia menggunakan AdWords untuk mempromosikan produk mereka; beratus ribu penerbit mengambil kesempatan atas program AdSense kami untuk menyampaikan iklan yang berkaitan dengan kandungan tapak mereka. Bagi memastikan yang pada kesudahannya kami memberikan perkhidmatan kepada semua pengguna kami (sama ada mereka pengiklan atau tidak), kami mempunyai set prinsip bimbingan untuk program dan amalan pengiklanan kami:-
Kami tidak membenarkan iklan dipaparkan pada halaman hasil carian kami kecuali ia berkaitan dengan apa yang dipaparkan. Kami sesungguhnya percaya bahawa iklan boleh menyediakan maklumat yang berguna jika, dan hanya jika, ia adalah berkaitan dengan apa yang anda ingin temui–oleh itu adalah berkemungkinan yang carian tertentu tidak langsung akan menghasilkan sebarang iklan.
-
Kami percaya bahawa pengiklanan boleh memberikan kesan tanpa perlu menjolok mata. Kami tidak menerima pengiklanan pop timbul yang mengganggu kebolehan anda untuk melihat kandungan yang anda minta. Kami mendapati bahawa iklan teks yang berkaitan dengan orang yang membacanya, menarik kadar klik lalu yang lebih tinggi berbanding iklan yang muncul secara rambang. Mana-mana pengiklan, sama ada kecil atau besar, boleh mengambil kesempatan ke atas perantara yang amat disasarkan ini.
-
Pengiklanan di Google sentiasa dikenal pasti dengan jelas sebagai "Pautan Ditaja," supaya ia tidak menjejaskan integriti hasil carian kami. Kami tidak pernah memanipulasi kedudukan untuk meletakkan rakan kongsi kami lebih tinggi dalam hasil carian kami dan tiada siapa pun boleh membeli PageRank yang lebih baik. Pengguna kami mempercayai objektiviti kami dan tiada keuntungan jangka pendek boleh dijadikan alasan untuk memungkiri kepercayaan itu.
-
-
Akan sentiasa ada lebih banyak maklumat di luar sana.
Setelah kami mengindeks lebih banyak halaman HTML di Internet daripada perkhidmatan carian yang lain, jurutera kami mengalihkan tumpuan mereka kepada maklumat yang tidak sentiasa boleh diakses. Kadangkala ia cuma berkenaan dengan menyepadukan pangkalan data baru ke dalam carian, seperti menambah carian nombor telefon dan alamat serta direktori perniagaan. Usaha lain memerlukan lebih kreativiti, seperti menambah kebolehan untuk mencari arkib baru, paten, jurnal akademi, berbilion imej dan berjuta-juta buku. Dan penyelidik kami berterusan mencari cara baru untuk membawa semua maklumat di dunia kepada orang yang mencari jawapan. -
Keperluan mendapatkan maklumat merentasi semua sempadan.
Syarikat kami diasaskan di California, tetapi misi kami untuk memudahkan akses kepada maklumat adalah untuk seluruh dunia dan dalam setiap bahasa. Oleh sebab itu, kami mempunyai pejabat di lebih daripada 60 negara, menyelenggarakan lebih daripada 180 domain Internet dan menyediakan lebih daripada separuh hasil carian kami kepada orang ramai yang tinggal di luar Amerika Syarikat. Kami menawarkan antara muka carian Google dalam lebih daripada 130 bahasa, menawarkan kepada orang ramai kebolehan untuk mengehadkan hasil carian untuk kandungan yang ditulis dalam bahasa mereka dan menyasarkan untuk menyediakan aplikasi dan produk kami yang selebihnya dalam sebanyak bahasa dan format boleh diakses yang mungkin. Menggunakan alat terjemahan kami, orang ramai boleh menemui kandungan yang ditulis di dunia sebelah sana dalam bahasa yang tidak mereka tuturkan. Dengan alat ini dan bantuan daripada penterjemah sukarela, kami telah pun dapat mempertingkatkan dengan ketara kepelbagaian dan mutu perkhidmatan yang kami boleh tawarkan walaupun di pelosok paling terpencil di dunia. -
Anda boleh menjadi serius tanpa memakai sut.
Pengasas kami membangunkan Google di sekitar idea yang kerja seharusnya mencabar dan cabaran pula seharusnya seronok. Kami percaya bahawa perkara kreatif yang hebat kemungkinan akan berlaku dengan budaya syarikat yang betul–dan itu bukan sahaja bermakna lampu lava dan bola getah. Terdapat penekanan terhadap pencapaian pasukan dan kebanggaan dalam pelaksanaan yang menyumbang kepada kejayaan keseluruhan kami. Kami menaruh sepenuh kepercayaan pada kakitangan kami–golongan bertenaga yang bersemangat dai latar belakang yang berbeza dengan pendekatan yang kreatif untuk bekerja, bermain dan hidup. Persekitaran kami mungkin santai, tetapi sementara idea baharu muncul semasa beratur di kafe, semasa mesyuarat pasukan atau di gim, ia saling ditukarkan, diuji dan dilaksanakan dengan amat pantas–dan ia mungkin tapak pelancaran untuk projek baharu yang dipersiapkan untuk kegunaan di seluruh dunia. -
Hebat sahaja belum mencukupi.
Kami menganggap bahawa hebat melakukan sesuatu adalah titik permulaan, bukan titik akhir. Kami menetapkan matlamat untuk diri kami sendiri yang kami tahu belum dapat kami capai kerana kami tahu dengan menjangkau untuk mencapainya, kami mampu untuk maju lebih jauh dari yang kami jangkakan. Melalui inovasi dan pelelaran, sasaran kami adalah untuk mengambil benda yang berfungsi dengan baik dan mempertingkatkannya dalam cara yang tidak dijangkakan. Contohnya, apabila jurutera kami melihat bahawa carian berfungsi dengan baik apabila perkataan dieja dengan betul, beliau tertanya-tanya tentang bagaimana ia menangani ralat taip. Perkara tersebut telah memberikannya petunjuk untuk mencipta penyemak ejaan yang intuitif dan lebih membantu.Walaupun anda tidak tahu apa sebenarnya yang anda cari, menemui jawapan di web adalah masalah kami, bukannya anda. Kami cuba menduga keperluan yang belum lagi dinyatakan oleh khalayak global kami dan memenuhinya dengan menyediakan produk dan perkhidmatan yang menetapkan piawaian baru. Apabila kami melancarkan Gmail, ia mempunyai ruang storan yang lebih banyak daripada perkhidmatan e-mel yang tersedia. Apabila di tinjau kembali penawaran yang nampaknya jelas–tetapi itu disebabkan kerana sekarang kami mempunyai piawaian baharu untuk storan e-mel. Begitulah jenis perubahan yang kami ingin lakukan dan kami sentiasa mencari ruang baharu di mana kami boleh membuat kelainan. Pada akhirnya, rasa tidak puas hati kami yang berterusan dengan cara yang ada sekarang menjadi tenaga yang mendorong kami melakukan semua ini.
