mutakhir

Malaysia perlu patuh syarat kerahsiaan vaksin Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia mungkin berdepan risiko pembatalan perjanjian pembelian dan perolehan vaksin Covid-19 sekiranya negara didapati melanggar syarat kerahsiaan ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.

Menjelaskan perkara itu, peguam Wan Azmir Wan Majid berkata, jika syarat kerahsiaan atau perjanjian ketakdedahan (NDA) adalah cadangan daripada pengeluar vaksin, negara tiada pilihan selain mematuhinya.

Beliau berkata, jika berlaku pelanggaran syarat ditetapkan, pemungkir boleh dikenakan tindakan dan perjanjian utama (perjanjian pembelian vaksin) boleh dibatalkan.

"NDA adalah satu kontrak termaktub terma yang merahsiakan sesuatu perkara atau perbuatan. Kesan obligasi kerahsiaan yang tidak dirahsiakan akan termaktub dalam NDA itu.

"Semua terma akan tertulis dalam NDA termasuk akibat kemungkiran (ingkar) kepada NDA itu," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Wan Azmir tidak menolak kemungkinan kerajaan mungkin berdepan risiko lain termasuk disaman pihak pengeluar vaksin jika didapati melanggar syarat itu.

Justeru, beliau berkata perlu difahami bahawa terdapat perkara boleh didedah kepada umum dan ada yang perlu dirahsiakan mengikut syarat dalam perjanjian telah dipersetujui.

Pada sidang media mengenai perkembangan perolehan vaksin Covid-19 di Putrajaya hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pemerolehan vaksin Covid-19, termasuk kosnya secara terperinci.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli jawatankuasa itu perlu mematuhi syarat kerahsiaan ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kerana Malaysia tertakluk dengan syarat kerahsiaan ditetapkan syarikat terbabit.

Katanya, syarat kerahsiaan itu dibuat oleh syarikat pengeluar vaksin, justeru jika berlaku pelanggaran syarat, ia akan menjejaskan perjanjian dengan syarikat terbabit.

Isu berkaitan pemerolehan vaksin Covid-19 turut mendapat perhatian masyarakat khususnya dalam kalangan pengguna media sosial yang antara lain mahu kerajaan lebih telus dengan mendedahkan perjanjian pemerolehan vaksin.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 11:27pm
d